Showing posts with label Roti. Show all posts
Showing posts with label Roti. Show all posts

Monday, December 5, 2016

Homemade Roti Burger & Roti John


Setiap kali mendapat resepi baru, suka untuk saya mencubanya beberapa kali. Ini penting untuk kita mengenalpasti beberapa error yang mungkin timbul sepanjang proses membuatnya dan ianya boleh dijadikan rujukan yang boleh membantu kita di masa akan datang tak kiralah masa tu kita guna resepi lain sekalipun. Proses belajar ni tak boleh sekerat jalan...mesti ada ranjau halangan yang perlu dilalui sebelum berjaya. Itu sebabnya istiqomah dan kesungguhan tu penting dalam apa pun perkara yang kita lakukan. 

Saya sendiri pun sebenarnya mengalami masalah sakit tangan dan terasa begitu sukar untuk menguli roti yang memerlukan banyak tenaga, namun setelah beberapa kali mencuba dengan tidak pernah berputus asa akhirnya mudahlah sangat nak membuat roti ni meskipun tanpa menggunakan mixer mahupun bread maker. Bila dah banyak kali mencuba kita akan lebih faham keadaan doh tersebut. Makanya...nak buat roti apa pun sudah tidak menjadi masalah lagi.

Biasanya roti yang saya buat tu saya bagi jiran-jiran dan kawan-kawan untuk merasainya, jadi dengan feedback yang diperolehi itulah saya menambahbaik output berikutnya. Terima kasih tak terhingga kepada semua tester-tester saya....hahahaa. Memasak ni boleh kita mempelbagaikan kretiviti tapi syok sendiri pun tak boleh jugak, jadi pentinglah untuk kita dapatkan komen positif ataupun negatif untuk tujuan penambahbaikkan....

Berbalik kepada tajuk di atas tu resepi ni masih lagi menggunakan resepi Japanese White Bread seperti mana yang pernah dikongsikan di sini sebelum ini. Tapi kali ni saya cuba membuat bun burger dan roti john pula...dan ternyata hasilnya okay...tak ada masalah.


Saturday, December 3, 2016

White Bread @ Roti Putih Tawar

Resepi ni diambil daripada Bread Channel, tapi kaedahnya menggunakan cara Chef Agus Jamhari. Jadi masa yang diambil untuk menghasilkannya lebih cepat dan singkat. Namun kualitinya tetap terpelihara.


Di entry sebelum ni saya ada sharekan resepi Japanese White Bread ni tapi sekadar nota tulisan tangan, so yang ni saya catatkan sekali lagi step yang saya buat satu persatu agar mudah untuk difahami. Bagi membantu memudahkan lagi pemahaman membuatnya boleh juga dirujuk dengan menonton video Japanese white bread (Bread Channel) dan Roti Tawar oleh Chef Agus Jamhari. Video-video ini sangat-sangat membantu untuk menghasilkan roti yang baik.

Jom semak resepinya :

Bahan-bahannya :

4 cawan tepung roti (kali ni saya gunakan Japanese Bread Flour)
4 sb gula
1 sb garam
50 ml susu segar (susu kotak pun ok)
300 ml air

2 st yis
2sb mentega yang dilembutkan




Langkah-langkahnya :

  • masukkan tepung ke dalam mangkuk bersama-sama gula dan garam. Tuangkan susu dan air lalu digaul dengan spatula.
  • masukkan yis di atas adunan tadi dan uli seketika, then barulah dimasukkan mentega. Uli doh ini sehingga ianya menjadi elastik. Kita boleh rasa bilamana doh ni sudah siap diuli dengan menarik sedikit doh tersebut seperti kita menarik doh roti canai. Senang ditarik-tarik dan tidak mudah putus.
  • keluarkan daripada mangkuk adunan...sapukan sedikit minyak dipermukaan meja kerja dan di telapak tangan untuk mengelakkan doh dari melekat kerana ianya sedikit lembik tapi jangan pula ditambah tepung. Uli seketika dan bentukkan membulat. Tutup doh dengan plastik atau tuala lembab dan biarkannya untuk 10 minit.
  • selepas 10 minit, tekan doh tadi untuk mengeluarkan angin yang ada dan bahagikan doh kepada 6 bahagian dan ulikan doh kecil ini dengan cantik biar jadi bulat dan tutup semula dengan plastik dan biarkan lagi kembang sehingga 10 minit.
  • setelah 10 minit berlalu...ambil doh tadi sebiji demi sebiji dan bulatkan lagi sehingga dohnya licin dan cantik. Leperkan dan gelekkan dengan kayu biar jadi memanjang dan gulungkannya seperti kek gulung lalu susunkan ke dalam loyang yang disapu dengan minyak ataupun mentega. Setiap satu loyang isikan dengan 3 gulungan doh tadi. Biarkannya kembang selama 1jam hingga 1 jam setengah.
  • sebaiknya panaskan dahulu oven selama 30 minit sebelum roti dimasukkan. Bakar roti pada suhu 180 darjah celcius selama 30 minit. Tapi saya menggunakan oven butterfly yang atas dapur gas tu so, cuma membakar selama 20-25 mint sahaja. 
  • keluarkan roti daripada loyang sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Dan sejukkan di atas redai. Sapukan permukaan roti dengan sedikit mentega untuk mendapatkan permukaan yang kilat dan menawan.
Anda boleh menggunakan loyang loaf  yang bertutup ataupun tanpa tutup. 


Thursday, December 1, 2016

Japanese White Bread @ Roti Putih Tawar


Bismillahirahmanirrahim. Aku menulis bukan kerna nama.....

Kenangan aku di kampung tak lama, sekitar 11 tahun je. Kerana sewaktu usia 12 tahun aku sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur. Terasa macam dalam drama je waktu nak berpindah tu. Selalu kan dalam drama atau filem dolu-dolu tu kan ada je adengan anak kampung merantau ke ibu kota nak jadi artis...

Kenangan sewaktu membesar di kampung tu tak banyak yang tersimpan dalam kotak memori ni. Banyak tempat-tempat yang tidak pernah dikunjungi pun...dengar nama-nama kampung pun rasa pelik sebab tak pernah dijejaki. Yelah...dulu-dulu kan tak banyak kemudahan awam. Kalau nak kemana-mana samada naik kereta sewa ataupun tumpang sedara mara yang berkereta. Arwah ayah waktu tu cuma berbasikal tua je...tu pun ada gak kenangan tu. Banyak berjasa sekali basikal tua tu dengan kami. Ingat lagi...time aku demam, arwah ayah dengan ummi jalan kaki sambil seret basikal dan aku duduk di atas pelana belakang untuk ke hospital. Tanpa merungut dan mengeluh mereka berdua berjalan....sebak sekali perasaan setiap kali terkenangkan detik itu....semoga Allah merahmati kedua orang tua kita dunia dan akhirat. Amin...

Dan antara kenangan lainnya adalah roti buku a.ka roti benggali. Hurm..yang ni memang sedap..time belum ada roti putih sandwich tu roti buku nilah yang kita duk makan time sarapan ke time minum petang ke. Ataupun time kenduri...cicah kuah kari..pun nikmat tak terkata.

So, demi kenangan tu aku mencari dan mengendap blog dan video di sana sini untuk mendapatkan resepi how to make white bread. Di belah omputih pun ado white bread ni, tapi teksturnya tak sama dengan negara-negara Asia. Kalau belah sana keras sikit, belah sini suka tekstur yang lembut dan gebu. 


Ini adalah salah satu daripada resepi roti buku yang paling memikat hati, resepinya malas nak taip kat sini so tempeklah buku nota tulis tangan kat bawah ni. Harapnya kalau ada yang sudi buat rujukan boleh dibaca dan difahami...

Dalam gambar tu ada 2 jenis roti yang menggunakan resepi yang sama tapi satu biji tu salah method, so hasilnya agak berlainan sedikit..bahasa mudahnya sedikit gagal. Dan yang satu lagi tu alhamdulillah sukses setelah bertapa mengadap video berulang kali. Buat lak tengah-tengah malam. Bila jadi tu rasa nak melompat gumbira...hahaaaaaaa

Kalau ikutkan video tu dia menggunakan mixer, tapi saya uli guna tangan..makanya note saya adalah menurut pengalaman saya di saat membuatnya.


Sekarang ni bila dah betul-betul faham proses pembuatan dengan method yang betul so, hopefully makin tambah rajin untuk membuat roti di masa-masa akan datang. In sha Allah...


Wednesday, November 23, 2016

Roti Oat

Meroti di malam hening...baunya harum semerbak memenuhi ruang pondok kecilku. Jadi lapar plak tetiba. Kalau resepi yang kita cuba tu outputnya berjaya...jadi semangat je nak buat tak kiralah siang ke malam ke nak buat jugak. So..malam tadi buat lagi roti menggunakan resepi roll ppang yang pernah dikongsikan pada entry sebelum ni. Yang di ambil dari website ni http://www.maangchi.com/recipe/bread-rolls.

Kali ni saya cuba menambah oat di dalam adunan ini dan ternyata tidak menjejaskan rasa yang sebenar malah bertambah lazat. Nanti saya nak mencuba membuat bun burger dengan menggunakan resepi yang sama dan tak sabar nak tahu camne resultnya. Kalau jadi molek..bolehlah kita buat double cheese burger...ewahhh!

Resepi ini boleh menghasilkan 6 biji roti yang berkhasiat sekiranya kita memilih untuk menggunakan tepung gandum penuh dan boleh ditambah dengan lain-lain bijirin bagi memantapkan lagi rasa dan juga teksturnya.

Di sini saya salin semula nota step by step proses yang saya jalankan semasa membuatnya. Untuk rujukan diri saya sendiri mahupun sesiapa jua yang sudi menjengah blog saya ini. 

Bahan-bahan :

3 sb mentega
1/2 cawan air (resepi betul guna susu segar)
1 biji telur 
2 sb gula
1 st garam
2 st yis
1/2 cawan oat
1 1/2 cawan tepung roti cap kuda
extra 1/4 cawan tepung
1 biji putih telur untuk sapuan

Kaedah yang saya buat :

Panaskan mentega dalam periuk guna api kecil, bila dah cair masukkan air, gula, garam dan telur. Kacau rata dan masukkan yis. Time ni kita boleh rasa adunan tadi tu masih hangat dan sesuai untuk perkembangan yis. Biarkan seminit.

Setelah itu bolehlah dimasukkan oat dan tepung bahagian 1 1/2 cawan dahulu. Baki tepung 1/4 cawan tu ketepikan sementara. Gaul rata adunan, tutup periuk dan biarkan doh kembang selama 1 jam. Setelah satu jam berlalu...uli seketika doh untuk membuang anginnya dan tutup lagi periuk biarkan kembang sekali lagi dengan tempoh selama 30 minit.

Lepas dah kembang, uli doh dengan baki tepung 1/4 cawan tadi sekitar 10-15 minit agar doh lebih elastik bagi memastikan roti yang dihasilkan lebih lembut dan gebu serta memberikan permukaan kulitnya licin. Bentukkan doh mengikut kreativiti kita sendiri, susun di dalam loyang yang telah dilenser dengan mentega terlebih dahulu. Jarak-jarakkan doh agar boleh mengembang dengan sempurna. Perap selama 1 jam.

Sapu doh dengan putih telur dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu. Saya tak tahu suhu oven saya ni memandangkan saya menggunakan oven butterfly yang menggunakan dapur gas. Saya bakar lebih kurang 20 minit dan saya keluarkan kemudiannya untuk disapu telur pada permukaannya dan bakarnya kembali lebih kurang seminit lagi. 

Tuesday, November 22, 2016

Roll Ppang @ Roll Bread


Happy and satisfied bilamana kita boleh membuat roti dengan sempurna. Perasaan yang kita sorang je feeling...yelah mahunya tak feeling. Setelah penat menguli, membentuk doh dan membakar. Proses yang memakan masa yang berjam-jam ini sebelum membuahkan hasil yang baik sebagai ganjaran kerja keras.

Kali ni saya nak kongsikan resepi roll ppang @ roll bread yang mana saya perolehi daripada website Maangchi disamping menonton videonya di youtube. Menggunakan bahan-bahan yang simple dengan kaedah pun yang tidak begitu rumit menjadikan proses membuat roti kali ni terasa bagaikan pieces of cake..yolah tu…

Sesapa yang rajin bolehlah tinjau-tinjau website Maangchi ni http://www.maangchi.com/recipe/bread-rolls untuk resepi roti ataupun lain-lain resepi. Hampir kesemuanya merupakan resepi masakan dari Korea. Macam-macam resepi yang menarik untuk dicuba…Jom kita semak bahan-bahannya dan kaedah membuatnya…


Bahan-bahannya : 

3 sb mentega
2 sb gula
1/2 cawan susu segar
1 biji telur
1/4 st garam
1 1/2 cawan tepung
2 st yis

Cara-caranya :

Saya cairkan mentega di dalam periuk, setelah ianya mencair sepenuhnya saya masukkan susu, telur, gula dan garam. Kacau rata dan masukkan yis...setelah itu biarkannya selama seminit untuk mengaktifkan yis.

Sesudah seminit berlalu..bolehlah dimasukkan tepung dan gaul sebati kesemuanya. Adunan ini agak basah dan melekit, tapi tak mengapa...tutup periuk dan biarkan selama sejam agar doh naik sekali ganda.

Bila doh telah jadi kembang sekali ganda, uli doh selama beberapa minit dan tutup kembali doh tersebut lalu dibiarkan lagi selama 30 minit untuk proses kembang kali kedua. Selepas itu barulah kita uli lagi sekali dengan ditabur sedikit tepung sambil diuli-uli sehingga menghasilkan doh yang licin dan cantik.

Lalu bahagikan doh kepada 6 bahagian kecil dan bentuklah roti bulat-bulat ataupun sebagaimana yang anda inginkan. Saya membentuknya seperti loaf memandangkan saya ada membeli loaf mini pan. Biarkan kembang selama 30 minit sebelum dibakar pada suhu 177 celcius selama 20-25 minit bergantung kepada oven masing-masing. 

Tuesday, November 15, 2016

Gyeran Ppang @ Korean Egg Bread


Saya agak gemar menonton drama-drama Korea yang banyak disiarkan oleh hampir kebanyakkan rangkaian tv negara kita. Paling saya ralit tengok tentulah babak sewaktu makan. Terdapat banyak hidangan yang diletakkan di atas meja makan. Soalan yang sering kali bermain di fikiran saya tentulah apalah yang dorang makan tu??

Walaupun belum tentu kita ni boleh sampai ke negara-negara lain namun teknologi maklumat yang berkembang pantas memungkinkan kita mendapat pelbagai maklumat dan pengetahuan tentang negara luar dengan mudah. Kali ni saya nak berkongsi satu resepi jalanan yang terdapat di negara Korea, iaitu Gyeran Ppang (Korean Egg Bread). Begitu mudah disediakan dengan bahan-bahan yang ringkas dan rasanya juga tidak mengecewakan...saya mahu mengajak teman-teman semua untuk mencuba membuatnya. 

Bahan-bahan : -

1 cawan susu segar
2 biji telur untuk adunan
3 sb gula
1 st garam
1 st esen vanila
2 sb mentega cair

Cara-caranya :

Pukul semua bahan di atas dan kemudiannya masukkan 1 cawan tepung gandum dan 2 st serbuk penaik. Gaul lagi hingga sebati. Paling mudah gunakan mesin pengisar/blender.

Bahan topping : -

6 biji telur ayam
12 kiub kecil keju mozarella 

Sebelum tu panaskan oven dahulu, sediakan pan loaf mini yang dilenser dengan sedikit minyak. Apabila aduanan telah siap disediakan, tuangkan ke dalam acuan 1/3 penuh, kemuadian letakkan keju stick yang dipotong tadi dan atasnya pecahkan sebiji telur ayam. Adunan ini boleh menghasilkan 6 biji roti.

Masukkan ke dalam oven dan bakar selama 30 minit. Namun ianya bergantung kepada oven masing-masing. Tersangatlah enak dijamu ketika hidangan masih panas. Boleh juga dibakar aduanannya begitu sahaja tanpa meletakkan cheese dan telur sebagai topping. Rasanya sangat sedap seakan kuih bingka ataupun kek pun boleh jadi juga.

Sunday, October 11, 2015

Aku, Roti dan Batu Lesung

Dahsyat gaklah aku ni kalau dah betul-betul gian nak meroti walhal tangan memang xleh menguli sangat, batu lesung sebagai penumbuk doh jadi galang gantinya....hahahahaha

Hari tu nonton beberapa video buat mee, ada satu kaedah tu dia bantai dohnya dengan kayu penggelek. Nah...dari situlah bermulanya teknik menumbuk doh dengan batu lesung timbul. Bila ditumbuk-tumbuk berulang kali sambil dilipat dan dibalik-balikkan, hasilnya doh menjadi begitu licin seperti doh yang diuli menggunakan mesin penguli doh. Kembang kucup jap idung bila tengok doh yang begitu licin terhasil....yelah, nak beli mesin belum mampu lagi. Heh..hehhh (sape suh x menabung...?)

Beriya-iya aku menumbuk ni bukanlah buat roti Perancis ataupun roti Itali, tapi roti canai je...namun disebabkan doh yang berat dengan anggaran kurang secawan nak cukup sekilo tepung, jadinya tenaga kurang sikit kalau nak uli tangan ni.

Dah siap uli dapatlah dalam 15 biji bebola doh rotinya.

Doh roti canai

Resepi asal roti loaf, tapi loaf pan kecik xde
Roti loaf ni adalah resepi terbaru yang saya skodeng di youtube. Menariknya...doh dibiarkan semalaman di dalam peti ais dan keesokkannya baru diuli, dibentuk dan dibakar. Hasilnya dijamin lembut dan gebu seperti loaf bread di pasaran.

Bahan-bahannya :

1 cawan susu suam
1 st yis
1 st gula

gabungkan bahan di atas dan biarkan sehingga terhasil buih-buih kecil di permukaannya.

2 cawan tepung roti
2 sb gula
2 sb mentega

campurkan kesemua bahan ini dengan larutan susu dan yis yang telah kembang dan gaulkan sebati dengan spatula ataupun menggunakan tangan. Adunan ini agak lembik dan melekit...tutup bekas adunan dan simpanlah di dalam peti sejuk semalaman.

Keesokkannya bolehlah dikeluarkan adunan tersebut dari peti sejuk dan dibiarkan selama sejam di dalam bekasnya dan setelah itu barulah boleh diuli dan dibentukkan. Doh yang telah pun dimasukkan ke dalam loyang loaf hendaklah dibiarkan kembang sehingga dua kali ganda. Jangan lupa menyapu loyang dan penutup loyang dengan marjerin.

Setelah doh kembang, bakarlah pada suhu 180 c selama 30 minit bergantung kepada oven masing-masing.



Friday, October 2, 2015

Roti Puri dan Dal

Biasa breakfast makan roti canai atau nasi lemak, kali ni teringin makan puri pulak....satu hidangan masyarakat India yang sangat ringkas dan mudah disediakan. Boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah...misalnya dal, kari mahupun sardin. 

Seingat saya...first time saya merasai roti puri ni pada tahun 2002. Masa tu tak tahu pun camne rasanya, tapi oleh kerana roti canai dah habis saya pun setuju menurut cadangan mamak kedai tersebut untuk merasai roti puri ini. Ianya dihidangkan bersama kentang (aloo gobi)...begitu enak sekali ketika menikmatinya. 

Saya melihat resepi dan kaedah membuatnya di YouTube dan menelusuri blogger-blogger yang telah pernah membuatnya. Anda boleh membuatnya dengan mengabungkan tiga jenis tepung iaitu tepung atta, tepung gandum dan tepung suji. Saya lebih menyukai gabungan ini, tepung gandum 2 cawan, tepung atta secawan dan tepung suji segenggam (tepung suji digunakan bagi membantu roti puri menghasilkan gelembung dengan baik dan tidak cepat mengecut)


Di sini saya copy & paste resepi daripada Mamak Haji yang terkenal dengan banyak perkongsian tentang dunia masakan. Berbaloi untuk kita mencubanya...

RESEPI MASAKAN INDIA: PURI
Copy & Paste dari blog Mamak Haji

Bahan-Bahan Yang Diperlukan:

2 cawan (cup) tepung gandum.
1 - 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
1 sudu kecil susu tepung (sekiranya anda ingin puri lembut dan berlemak).
1/2 sudu kecil (tsp) gula.
1/4 sudu kecil (tsp) garam.
Air suam secukup untuk membuat doh seperti roti canai.

CARA-CARA MEMBUAT DOH:

Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam dan gula dan minyak masak dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan-bahan ini supaya rata.

Masukan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung. Uli tepung sehingga anda mendapat doh seperti doh canai. Doh yang baik licin permukaan yang licin dan tak berlekit ditangan. Biarkan doh tersebut di selimuti kain yang lembab selama 20 minit.

Bahagi-bahagikan doh itu beberapa bentuk bebola sama saiz yang berukuran sebiji buah lemon. (saiznya separuh dari saiz bebola roti canai atau capati. Titiskan beberapa titis minyak masak atas papan peleper (supaya tidak melekat) dan leperkan bentuk bulat bulat yang tebalnya sama ketebalan roti capati. Sekiranya anda tidak mempunyai papan dan kayu peleper (roller), anda boleh uli di atas kertas plastik dengan menggunakan botol bulat yang berbalut dengan plastik. Kalau mampu, dapatkan sebuah set peleper doh tepung yang sangat berguna di dapur anda.

Panaskan minyak dalam kuali dan mula goreng puri.









Sunday, September 13, 2015

Roti Bom Sedap....

Saya ambil resepi roti ni dari blog ni.... SINI. Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian sedara / sedari sharekan resepi hasil air tangan bonda sendiri...bila saya cuba buat, ternyata sangat memuaskan hati dan selera tekak ni....

Saya dah banyak kali gagal dalam menghasilkan roti canai ni...rupanya kaedah yang sering saya abaikan adalah uli dengan betul dan lama sedikit tempohnya...kerana kebiasaannya saya menguli lebih kurang 15 minit, dan hasilnya didapati sukar ditebar...kekecewaan dapat saya tebus akhirnya dengan percubaan ke atas resepi ini dan hasilnya turut saya kongsikan dengan jiran-jiran saya. Alhamdulillah...mereka pun memberikan komen yang begitu positif....




Roti bom ni di dalamnya saya letakkan marjerin dan susu pekat, kemudian gulungkan dengan keadaan ada gelembung udara. Masak dengan api yang perlahan kerana ketebalannya membuatkannya masak diluar dan mentah di dalam sekiranya menggunakan api yang kuat. 

Tuangkan sedikit minyak sebelum dan sewaktu menterbalikkannya agar hasilnya lebih rangup dan cantik kejadiaannya....


Roti Canai Pilihan Ramai


Di negara kita ni pagi petang siang malam orang kita makan roti canai. Maksudnya tiada waktu yang khusus untuknya misalnya sekadar dimakan sewaktu sarapan sahaja. Ataupun dimakan di waktu petang sahaja....namun itu bukanlah persoalannya lagi bila mana selera kita menginginkan sesuatu hidangan dan ada pula yang menawarkannya di kala kita sedang teringat-ingat maka apa lagi...makan sajalah....tak gitu mat?

Sebenarnya...secara jujurnya saya juga merupakan salah seorang daripada jutaan rakyat malaysia yang mengemari roti canai ini. Dengan teksturnya yang rangkup dan bila dicarik...dicicah ke dalam kuah dal ataupun kari...pergghhhhh datanglah mabelossnye tu...

Dengan minat yang mendalam itu, saya bertekad untuk pandai ataupun mahir dalam membuat roti canai sendiri. Dengan harapan bila-bila masa saja saya nak makan saya boleh buat tanpa perlu ke kedai membelinya..ewahh semangatnya lain macam sungguh...so, saya pun belajarlah tebar kain tuala good morning ataupun baju dalam bilik air setelah memerhatikan cara si penebar roti canai di warung / restoran mamak. Namun yang demikian...dohnya saya tak tahu buat...hmmm camne nih??

Suatu hari tu...kakak ipar saya dapat resepi roti canai 30 minit uli dah boleh tebar dan goreng. Hmmm...ini satu peluang yang baik untuk saya pelajari cara-cara membuat dohnya dan sekaligus merealisasikan impian dan hasrat saya ini.....huk..hukkkk

Resepinya sangat ringkas dan mudah untuk dibuat....begininya :

4 cawan tepung gandum
1 gelas atau lebih air sejuk dalam peti
1 sudu teh garam

Kesemua bahan ini diuli hingga sebati dan licin. Kemudian dibulat-bulatkan kecil, bentukkan biar cantik....dan disalut dengan minyak. Simpanlah 30 minit dengan ditutup dengan tuala lembab mahupun plastik. Setelah itu bolehlah ditebar dan digoreng..... Kalau guna minyak sapi dan marjerin ketika mengoreng tu bertambah lagi sedapnya.

Camne?? Senang tak Mat??
Lain entry...saya nak share resepi roti canai yang perlu diperap dohnya selama 4 jam ataupun semalam pula....tunggu ye...





Friday, July 11, 2014

Roti Tuna Goreng Celup Telur


Resepi yang cukup ringkas dan sangat mudah disediakan. Sangat lazat untuk dinikmati...., terima kasih En Mat Gebu yang sudi kongsikan resepi ini di blog beliau. 

Resepi sebenar menggunakan sardin sebagai intinya, saya pula agak kurang rajin sedikit dan menggunakan tuna cili di dalam tin sebagai intinya. Hidangan ini sangat sesuai untuk dihidangkan bila-bila masa sahaja dan pasti akan menjadi kegemaran kanak-kanak.

Jom kita semak resepinya....

Bahan-bahannya :

Roti Putih biasa / sandwich
Tuna dalam tin, boleh sebarang rasa
Telur yang mencukupi untuk menyalut roti
Keju cheesedale
Sos mayonis - tak letak pun xpe
Sos thousand island - tak letak pun xpe

Langkah-langkahnya

Ambil roti sandwich, sapukan rata mayonis dan sos thousand island. Letakkan tuna cili secukupnya dan dilapiskan dengan keju cheesedale sesuka hati anda.

Sapukan sekeliling roti dengan sedikit telur sebagai gam dan letakkan sekeping lagi roti sandwich untuk menutupnya. Tekan sekelilingnya dengan belakang sudu agar kedua roti melekat dengan baik.

Pecahkan telur, pukul sedikit dan celupkan roti tadi ke dalamnya dan goreng hingga kuning keemasan.

Angkat dan toskan di atas tisu. Setelah itu potong dan hidangkan.


Monday, June 30, 2014

Roti Daging @ Beef Sandwich

Pertama Ramadhan tahun ni tetiba nak makan roti John, walhal semalam baru je lepas makannya pun. Tengok dlm peti ais masih ada lagi separuh baki daging kisar keluaran Ramly, tu yg bertambah membuak-buak keinginannya.

Dekat 3 buah kedai gi cari roti panjang tu tapi xde, dlm kehampaan belilah gak roti sandwich biasa. Kecewa dah sebenarnya, malas nak masak pun ada. Last-last buat juga.....x jadi roti John pun xpelah, janji rasanya ada. Hahhaha...

so....., ini hasilnya ; taaraaaa....


meh saya kongsikan resepi membuatnya.

Bahan-bahannya :

Roti sandwich apa2 brandlah
Sos cili
Mayonis
Mozzarella cheese

Bahan2 inti :

1 paket daging kisar apa2 brandlah
1 labu bawang holland atau bawang besar - dadu halus
2 batang lada besar hijau - dadu halus
1 biji tomato dibuang bijinya dan didadu halus
2 keping cendawan shitake besar - direndam air panas dan dicincang kasar
1 sudu besar lada sulah
1 sudu besar italian herbs - yg ni klu xde pun xpe
sedikit garam
1 sudu besar mentega
2 sudu besar minyak masak
setangkai daun sup - cincang halus
5 biji telur - klu nak taruk lebih terpulanglah

Cara-cara membuatnya :

Panaskan mentega bersama sedikit minyak masak, tumiskan bawang holland yg telah didadu halus sampai naik bau. Kemudian masukkan daging kisar dan masak sehingga dagingnya empuk.

Setelah itu, masukkan cendawan shitake, kacau seketika dan bolehlah dimasukkan tomato, lada besar hijau, lada sulah, italian herbs dan sedikit garam. Kacau sebati. Kemudian bolehlah diangkat dan disejukkan sebentar.

Di dalam mangkuk yg berasingan, pecahkan telur dan masukkan daun sup yg telah dicincang halus. Setelah inti sejuk, masukkan ke dalam bancuhan telur tadi. 

letakkan inti di atas kepingan roti sandwich dan gorengkannya di atas kuali leper

setelah intinya masak, angkat rotinya dan taburkan dgn mozzarella cheese di sebelah kepingan roti dan tangkupkan dengan sebelah yg tidak diletakkan cheese dan letakkan kembali roti tersebut agar kedua-dua belah roti menjadi garing sedikit. Jangan terhangguskan ye...

potong mengikut citarasa sendiri, 

picitkan sos cili dan mayonis dan siap untuk dingap....

Monday, December 12, 2011

Roti.!!! Aku memang sukakan ko....

Assalamualaikum......

Salam bahagia buat semua dan salam keimanan yang menebal di jiwa. Hari ni terpandang oven yang dah lama tak digunakan...tetiba teringat first time buat roti. Hmmm....lucu sungguh hasilnya, masa keluar dari oven tu boleh lagi telan masa hangat2 tu....bau dah bau roti, tapi bila sejuk je....dah jadi macam batang kayu pulak kerasnya. Sape yang nak makan...? Sape lagi kalau bukan tong sampah yang makan.....hehehehe....

Hari2 dok ngadap internet tiba2 terfikir nak search resepi roti....mak ooiii....ada banyaklah rupanya....ada Mat Gebu (tiffinbiru.blogspot.com), ada Ros (jintanmanis.com) ada kak Ummi kuantan ( home sweet home) tu dan ramai lagilah.....depa2 ni blogger masakan yang hebat. jealous tau depa ni semua kebanyakkannya ada BM, aku ni bilalah berpeluang nak memiliki si BM tu....penat seh uli roti pakai tangan....sekali uli sengal semalaman tangannya. Hahhaha....overnyee......

Okayla....okayla....ni ada satu bukti yang nak diwar-warkan yang aku dah berjaya menghasilkan roti dengan titik peluh sendiri....huhu....tima kasihlah kepada blogger2 masakan yang mana sudi berkongsikan resepi2 roti yang sedap dan dijamin memikat selera tu.....

tak beberapa nak smooth doh yang dah dibulatkan kecil2 ni.....

Barang2nya senang nak cari, kaedah membuatnya pun mudah....yang tak beberapa nak mudahnya time nak menguli tu le.....sape2 yang memang rajin menguli tu dan memiliki kesabaran yang tinggi...rasanya xde masalah nak buat roti ni. Confirm sodapppp....!

beberapa ketul tu diletakkan chocolate rice, dan yang lain2 tu ditaburkan gula

hah..! tu dia...ni lah hasilnya.........

Percubaan yang ni bukanlah kali pertama, tapi still x smooth lagi. Lepas tu ada lagi percubaan yang seterusnya. Ni dia....

ha...yang ni memang sedap....!!

Memang takde ruginya kalau rajin mencuba.....lama2 mencuba...insyaAllah, hasilnya memuaskan hati. Lepas ni harap2 ada masa nak try buat resepi roti yang lain pulak....InsyaAllah.....