Sunday, December 27, 2015

Nasi Biryani Pakistan....again?


Suka betul saya dengan nasi biryani Pakistan yang ringkas ini. Menyelerakan dan tidak menjemukan tekak saat menikmatinya. Kali ni saya masak dengan melebihkan sedikit air untuk mendapatkan nasi yang sedikit lembut dan sangat berperisa.

Bahan-bahannya :

2 1/2 cawan beras Basmathi - bersihkan dan toskan
1 labu bawang holland - cincang halus
3 ulas bawang putih - ditumbuk
sedikit halia - ditumbuk
3-4 biji tomato - potong kasar
10 biji cili padi merah & hijau - belah tengah tapi jangan putuskan
1/2 ekor isi ayam sahaja - potong kecil
3-4 biji ubi kentang - potong dadu
segenggam daun ketumbar - dihiris halus
3 sb serbuk ketumbar
2 sb serbuk jintan putih
3 sb serbuk cili
1 sb serbuk lada putih
1 sb serbuk lada hitam
1 st serbuk kunyit
1 helai daun bay (optional)
1 kiub pati ayam
garam secukup rasa
bawang goreng untuk taburan (optional)

Cara - caranya :

Panaskan minyak dalam periuk, tumiskan bawang holland, bawang putih dan halia hingga wangi.

Masukkan tomato dan cili padi. Biar sedikit lembut. Kemudian dimasukkan semua serbuk rempah. Kacau dan biarkan seketika. Kalau kering boleh tuangkan sedikit air.

Masukkan ayam dan ubi kentang beserta daun ketumbar. Biarkan 3 minit...setelah itu masukkan air secukupnya untuk memastikan ayam dan ubi kentang empuk. Masukkan kiub pati ayam dan garam secukupnya.

Setelah ubi kentang empuk, bolehlah dimasukkan beras, air diparas yang secukupnya dan daun bay. Biarkan proses ini sehingga air kering. Akhir sekali taburkan bawang goreng dan tudungkan periuk dan sambung proses memasak dengan api yang paling kecil sehingga nasi tanak sepenuhnya.

note : kuahnya biarkan sedikit masin kerana ianya akan diserapoleh nasi dan ubi kentang. Jika terlalu tawar...nasinya kurang sedap.

Kek Sarang Semut @ Kek Gula Hangus

Setakat ni kek gula hangus @ kek sarang semut memang tidak pernah menjemukan tekak. Boleh dinikmati bila-bila masa jer, samada sebagai hidangan di waktu sarapan pagi mahupun dihidangkan pada sebelah petang bersama secawan teh o ataupun kopi o. Sangat sedap....!

Resepi kek ini saya dapat hasil kerja-kerja mengoogle saya...hehe. Tapi tak ingat linknya, kerana sudah lama mendiami buku koleksi resepi saya. Bahan-bahan yang ringkas, cara atau kaedah yang mudah...tetapi hasilnya begitu sedap.


Jom kita semak resepi...terima kasih pada yang berkongsikan resepi ini diblog saudara/i. Saya begitu setia pada resepi yang satu ini....ohohooo

Bahan-bahannya :

1 cawan gula
1 cawan air panas
1 cawan tepung gandum (atau 1/2 tepung gandum + 1/2 tepung naik sendiri)
1 cawan susu pekat manis
2 sudu teh soda bikabornat
5@6 biji telur
2 sudu besar mentega
2 sudu teh esen vanilla

Langkah menyediakannya :

Masak gula dengan api yang sederhana hingga hangus. Jangan hangus rentung pulak...hehe

Tutup api dan tuangkan air panas perlahan-lahan kerana ianya akan merecik. Hati-hati sewaktu proses ini dilakukan...hidupkan semula api dan kacau hingga sebati. Setelah itu masukkan mentega dan kacau sehingga larut. Ketepikan dan biarkan ianya sejuk.

Pukul telur hingga kembang dan pekat, masukkan susu pekat manis dan esen vanilla. Pukul sedikit sehingga sebati.

Masukkan tepung dan soda bikabornat, pukul lagi dan masukkanlah adunan gula hangus yang telah pun sejuk tadi ke dalamnya. Pukul hingga sebati adunannya.

Tuangkan ke dalam loyang yang telah dilengserkan dengan mentega dan ditaburkan sedikit tepung sehingga merata di keseluruhan loyang, dan bakarlah selama 50 minit - 1 jam dengan suhu 160 darjah celcius (mengikut keadaan oven masing-masing)

note : ada yang memberikan cadangan dengan membiarkan adunannya didalam loyang selama 4 jam untuk menhasilkan rongga -rongga yang banyak dan cantik. 



Kek Minyak VS Kek Mentega


Kali ni terasa nak buat kek pulak...tak biasa buat kek, tapi bila google sana google sini semua nampak orang tayang kek jer...jadi teringin jugaklah nak buatnya. So..kali ni try dengan membuat kek kukus dulu, nampak senang nak buat, bahan-bahan pun ringkas sahaja. 

Saya membuat dua biji kek serentak bagi menguji tekstur dan rasanya. Resepi yang sama cuma satu kek menggunakan minyak jagung dan satu lagi kek menggunakan mentega. Bagi tekak saya, kek kukus yang menggunakan mentega ini lebih menjadi pilihan kerana teksturnya yang lembut dan gebu. Manakala tekstur kek yang saya letakkan minyak jagung terasa sedikit padat. Untuk chef amatur seperti saya ni kek yang dihasilkan tidaklah begitu sempurna namun sesuatu dapat dipelajari melalui pembikinannya.




Sunday, December 6, 2015

Nasi Biryani Pakistan...Mudah Dimasak Sedap Dimakan

ni pic nasi biryani yang saya masak lauk dan nasi secara berasingan

Biasanya kalau nak makan nasi biryani gi tapau je kat restoran. Tapi sekarang masak sendiri kat rumah mahupun di tempat kerja (guna rice cooker). Memang sangat mudah dan hasil yang tidak menggecewakan.

Fisrt saya try masak tu saya masak lauk dan nasi asing-asing, kemudiannya baru kita layerkan kedalam periuk dan dimasak sebentar dengan api yang kecil. Tapi untuk kali ni saya masak nasi dan ayam sekali didalam periuk yang sama. 

Memasak dengan menggunakan rice cooker dan lokasinya di pejabat, maka terhasillah nasi biryani Pakistan yang ringkas dan lazat. Resepi ni saya amik dari orang Pakistan jiran sebelah pejabat...

Bahan-bahannya :

Setengah ekor ayam - potong kecil
3 pot beras basmathi - cuci dan toskan
1 labu bawang holland / bwg besar - dicincang
3 ulas bawang putih - ditumbuk
1 inci halia - ditumbuk
2 biji lada hijau - patahkan 3
2 biji tomato - dihiris kasar
4 biji cili padi - dihiris kasar
1 sudu besar serbuk jintan putih
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk lada hitam
segenggam daun ketumbar - cincang
Sedikit bawang goreng
Sedikit garam

Cara-caranya :

Panaskan minyak, tumiskan bawang besar hingga layu, masukkan lada hijau, cili padi dan tomato. Biarkan sehingga layu sedikit dan masukkan potongan ayam.

Setelah itu,bolehlah dimasukkan garam secukup rasa, halia dan bawang putih yang ditumbuk tadi, gaul rata dan biarkan seminit dua. Biarkan ayam masak.

Jika agak kering, bolehlah ditambah sedikit air dan dimasukkan kesemua jenis serbuk rempah dan digaul sebati. Masukkan sekali daun ketumbarnya.

Lalu masukkanlah pula beras dan air secukupnya. Tudungkan periuk dan biarkan sehingga nasi masak. Akhirnya taburkan bawang goreng dipermukaan nasi...siap.


Note : kalau nak tambah potongan dadu ubi kentang pun boleh dan dimasukkan sewaktu dengan ayam agar cepat empuk.





Resepi Donut Chef Gordon Ramsay Yang Gebu

Memang tak reti buat donut, tapi suka sangat makan donut. Tak kisahlah samada donut 3 biji seringgit ataupun yang sebiji beringgit-ringgit tu pun, asal saja donut kita bedal aje. Hahahaha....

Hari ahad jam 2 petang di channel ntv7 biasa ada rancangan masakkan Chef Gordon Ramsay, dan kebetulan dalam slot tu dia buat donut. Nampak senang giler...apalagi aku pun belilah susu segar memandangkan bahan-bahan lain dah ada kat dapur. 

Donut kalau golek gula kan sama je rasanya, tapi yang membezakannya tu adalah teksturnya samada lembut gebu ataupun sedikit keras....dalam resepi asal donut ni Chef Gordon Ramsay taruk chocolate filling, tapi aku golek gula je. Memang sedap....


Jom kita semak resepinya...kalau nak lebih jelas cara-cara membuatnya bolehlah tonton di youtube. Ni first try tu yang rupanya tak lawa sangat, tapi memang terpikat dengan donut yang berbentuk 4 segitepat tu. Lembut gebu dan berongga macam span....

Bahan-bahan :

3 cawan tepung gandum
1 sudu teh garam
2 sudu besar yis
1 cawan + suku cawan susu segar
1 sudu besar gula
2 sudu besar mentega
1 biji telur - pukul sedikit dengan garpu

Cara-caranya :

Panaskan susu segar bersama gula dan masukkan mentega. Jangan sampai mendidih..cukup sekadar panas sahaja susunya. Sambil itu ayak tepung dan gabungkan bersama garam dan yis.

Masukkan telur dan tuang susu suam kedalamnya. Gaul dengan spatula kayu. Adunan ini seharusnya lembik sedikit. Keluarkan dari mangkuk dan letakkan di atas meja kerja yang ditabur tepung lalu diuli sedikit sahaja...bentukkan bulat dan letakkan didalam mangkuk yang telah ditaburkan tepung.

Biarkan sejam ataupun sehingga kembang dua kali ganda. Setelah kembang, keluarkan dan letakkan di atas meja kerja yang telah ditaburkan tepung...gelekkan dengan kayu penggelek dan dengan ketebalan 1cm lalu ditekap dengan acuan donut biasa. Bagi yang ingin memasukkan inti kedalamnya, bentukkan 4 segitepat pun boleh...

Goreng dengan pengawalan api yang baik, angkat dan toskan. Setelah itu bolehlah digolekkan dengan gula.






Sunday, October 11, 2015

Aku, Roti dan Batu Lesung

Dahsyat gaklah aku ni kalau dah betul-betul gian nak meroti walhal tangan memang xleh menguli sangat, batu lesung sebagai penumbuk doh jadi galang gantinya....hahahahaha

Hari tu nonton beberapa video buat mee, ada satu kaedah tu dia bantai dohnya dengan kayu penggelek. Nah...dari situlah bermulanya teknik menumbuk doh dengan batu lesung timbul. Bila ditumbuk-tumbuk berulang kali sambil dilipat dan dibalik-balikkan, hasilnya doh menjadi begitu licin seperti doh yang diuli menggunakan mesin penguli doh. Kembang kucup jap idung bila tengok doh yang begitu licin terhasil....yelah, nak beli mesin belum mampu lagi. Heh..hehhh (sape suh x menabung...?)

Beriya-iya aku menumbuk ni bukanlah buat roti Perancis ataupun roti Itali, tapi roti canai je...namun disebabkan doh yang berat dengan anggaran kurang secawan nak cukup sekilo tepung, jadinya tenaga kurang sikit kalau nak uli tangan ni.

Dah siap uli dapatlah dalam 15 biji bebola doh rotinya.

Doh roti canai

Resepi asal roti loaf, tapi loaf pan kecik xde
Roti loaf ni adalah resepi terbaru yang saya skodeng di youtube. Menariknya...doh dibiarkan semalaman di dalam peti ais dan keesokkannya baru diuli, dibentuk dan dibakar. Hasilnya dijamin lembut dan gebu seperti loaf bread di pasaran.

Bahan-bahannya :

1 cawan susu suam
1 st yis
1 st gula

gabungkan bahan di atas dan biarkan sehingga terhasil buih-buih kecil di permukaannya.

2 cawan tepung roti
2 sb gula
2 sb mentega

campurkan kesemua bahan ini dengan larutan susu dan yis yang telah kembang dan gaulkan sebati dengan spatula ataupun menggunakan tangan. Adunan ini agak lembik dan melekit...tutup bekas adunan dan simpanlah di dalam peti sejuk semalaman.

Keesokkannya bolehlah dikeluarkan adunan tersebut dari peti sejuk dan dibiarkan selama sejam di dalam bekasnya dan setelah itu barulah boleh diuli dan dibentukkan. Doh yang telah pun dimasukkan ke dalam loyang loaf hendaklah dibiarkan kembang sehingga dua kali ganda. Jangan lupa menyapu loyang dan penutup loyang dengan marjerin.

Setelah doh kembang, bakarlah pada suhu 180 c selama 30 minit bergantung kepada oven masing-masing.



Sunday, October 4, 2015

Mee Buatan Tangan

Dapat mc dapatlah berehat di rumah. Dalam pada tu sempatlah menjengah blogger-blogger masakan sambil mencari ilham untuk mencuba resepi baru. Google sana google sini, terliur dibuatnya tengok hidangan-hidangan yang pelbagai...hahaha, kaki makan mmg macam nilah. Pikir makan jeeee...

Seumur hidup ni belum pernah gi melancong keluar negara, so bila tengok rancangan-rancangan yang memaparkan tentang budaya, cara hidup dan jenis-jenis makanan di tempat lain, dalam hati ni rasa teringinnya nak merasa gak....cam sedap je...

Kali ni saya mencuba membuat mee sendiri mengikut resepi masyarat Hui dan Uyghur iaitu kelompok masyarat muslim di China. Mereka menghasilkan mee dengan tangan dan secara praktikalnya memang sangat mudah, cuma perlu berlatih beberapa kali untuk memahirkan diri. Dan teryata hasil yang saya usahakan boleh dinikmati, namun untuk menyatakan kesamaannya dengan mee yang asal dari Xinjiang yang dikenali dengan nama mee laghman ini saya pun belum pernah menikmatinya....


Resepinya cukup mudah, seperti resepi saya membuat roti canai yang ringkas dalam entry saya sebelum ini, iaitu sekadar tepung, sedikit garam dan air secukupnya. Dohnya diuli sebati dan diperap seketika lebih kurang 30 minit dan seterusnya digulung memanjang dan dijadikan seperti lingkaran ubat nyamuk....ratakannya dengan sedikit minyak dan dibiarkan lagi seketika.

Setelah itu panaskan air dan tambahkan sedikit garam, ambil dohnya dan ditarik-tarik sehingga bersaiz mee yang biasa kita nikmati, lalu dimasukkan ke dalam air yang mendidih tadi. Kita boleh merasa mee samada mee tersebut sudah masak atau tidak sebelum kita angkat dan siramkan dengan air paip lalu ditoskan...kebiasaannya masyarakat Hui menikmati mee ini dengan daging yang dimasak sedikit berkuah ataupun dengan sup. Cara memasaknya boleh dipelajari di laman-laman Youtube, sangat berbaloi sekali bagi saya mencubanya...












Friday, October 2, 2015

Roti Puri dan Dal

Biasa breakfast makan roti canai atau nasi lemak, kali ni teringin makan puri pulak....satu hidangan masyarakat India yang sangat ringkas dan mudah disediakan. Boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah...misalnya dal, kari mahupun sardin. 

Seingat saya...first time saya merasai roti puri ni pada tahun 2002. Masa tu tak tahu pun camne rasanya, tapi oleh kerana roti canai dah habis saya pun setuju menurut cadangan mamak kedai tersebut untuk merasai roti puri ini. Ianya dihidangkan bersama kentang (aloo gobi)...begitu enak sekali ketika menikmatinya. 

Saya melihat resepi dan kaedah membuatnya di YouTube dan menelusuri blogger-blogger yang telah pernah membuatnya. Anda boleh membuatnya dengan mengabungkan tiga jenis tepung iaitu tepung atta, tepung gandum dan tepung suji. Saya lebih menyukai gabungan ini, tepung gandum 2 cawan, tepung atta secawan dan tepung suji segenggam (tepung suji digunakan bagi membantu roti puri menghasilkan gelembung dengan baik dan tidak cepat mengecut)


Di sini saya copy & paste resepi daripada Mamak Haji yang terkenal dengan banyak perkongsian tentang dunia masakan. Berbaloi untuk kita mencubanya...

RESEPI MASAKAN INDIA: PURI
Copy & Paste dari blog Mamak Haji

Bahan-Bahan Yang Diperlukan:

2 cawan (cup) tepung gandum.
1 - 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
1 sudu kecil susu tepung (sekiranya anda ingin puri lembut dan berlemak).
1/2 sudu kecil (tsp) gula.
1/4 sudu kecil (tsp) garam.
Air suam secukup untuk membuat doh seperti roti canai.

CARA-CARA MEMBUAT DOH:

Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam dan gula dan minyak masak dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan-bahan ini supaya rata.

Masukan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung. Uli tepung sehingga anda mendapat doh seperti doh canai. Doh yang baik licin permukaan yang licin dan tak berlekit ditangan. Biarkan doh tersebut di selimuti kain yang lembab selama 20 minit.

Bahagi-bahagikan doh itu beberapa bentuk bebola sama saiz yang berukuran sebiji buah lemon. (saiznya separuh dari saiz bebola roti canai atau capati. Titiskan beberapa titis minyak masak atas papan peleper (supaya tidak melekat) dan leperkan bentuk bulat bulat yang tebalnya sama ketebalan roti capati. Sekiranya anda tidak mempunyai papan dan kayu peleper (roller), anda boleh uli di atas kertas plastik dengan menggunakan botol bulat yang berbalut dengan plastik. Kalau mampu, dapatkan sebuah set peleper doh tepung yang sangat berguna di dapur anda.

Panaskan minyak dalam kuali dan mula goreng puri.









Sunday, September 13, 2015

Roti Bom Sedap....

Saya ambil resepi roti ni dari blog ni.... SINI. Terima kasih saya ucapkan di atas kesudian sedara / sedari sharekan resepi hasil air tangan bonda sendiri...bila saya cuba buat, ternyata sangat memuaskan hati dan selera tekak ni....

Saya dah banyak kali gagal dalam menghasilkan roti canai ni...rupanya kaedah yang sering saya abaikan adalah uli dengan betul dan lama sedikit tempohnya...kerana kebiasaannya saya menguli lebih kurang 15 minit, dan hasilnya didapati sukar ditebar...kekecewaan dapat saya tebus akhirnya dengan percubaan ke atas resepi ini dan hasilnya turut saya kongsikan dengan jiran-jiran saya. Alhamdulillah...mereka pun memberikan komen yang begitu positif....




Roti bom ni di dalamnya saya letakkan marjerin dan susu pekat, kemudian gulungkan dengan keadaan ada gelembung udara. Masak dengan api yang perlahan kerana ketebalannya membuatkannya masak diluar dan mentah di dalam sekiranya menggunakan api yang kuat. 

Tuangkan sedikit minyak sebelum dan sewaktu menterbalikkannya agar hasilnya lebih rangup dan cantik kejadiaannya....


Roti Canai Pilihan Ramai


Di negara kita ni pagi petang siang malam orang kita makan roti canai. Maksudnya tiada waktu yang khusus untuknya misalnya sekadar dimakan sewaktu sarapan sahaja. Ataupun dimakan di waktu petang sahaja....namun itu bukanlah persoalannya lagi bila mana selera kita menginginkan sesuatu hidangan dan ada pula yang menawarkannya di kala kita sedang teringat-ingat maka apa lagi...makan sajalah....tak gitu mat?

Sebenarnya...secara jujurnya saya juga merupakan salah seorang daripada jutaan rakyat malaysia yang mengemari roti canai ini. Dengan teksturnya yang rangkup dan bila dicarik...dicicah ke dalam kuah dal ataupun kari...pergghhhhh datanglah mabelossnye tu...

Dengan minat yang mendalam itu, saya bertekad untuk pandai ataupun mahir dalam membuat roti canai sendiri. Dengan harapan bila-bila masa saja saya nak makan saya boleh buat tanpa perlu ke kedai membelinya..ewahh semangatnya lain macam sungguh...so, saya pun belajarlah tebar kain tuala good morning ataupun baju dalam bilik air setelah memerhatikan cara si penebar roti canai di warung / restoran mamak. Namun yang demikian...dohnya saya tak tahu buat...hmmm camne nih??

Suatu hari tu...kakak ipar saya dapat resepi roti canai 30 minit uli dah boleh tebar dan goreng. Hmmm...ini satu peluang yang baik untuk saya pelajari cara-cara membuat dohnya dan sekaligus merealisasikan impian dan hasrat saya ini.....huk..hukkkk

Resepinya sangat ringkas dan mudah untuk dibuat....begininya :

4 cawan tepung gandum
1 gelas atau lebih air sejuk dalam peti
1 sudu teh garam

Kesemua bahan ini diuli hingga sebati dan licin. Kemudian dibulat-bulatkan kecil, bentukkan biar cantik....dan disalut dengan minyak. Simpanlah 30 minit dengan ditutup dengan tuala lembab mahupun plastik. Setelah itu bolehlah ditebar dan digoreng..... Kalau guna minyak sapi dan marjerin ketika mengoreng tu bertambah lagi sedapnya.

Camne?? Senang tak Mat??
Lain entry...saya nak share resepi roti canai yang perlu diperap dohnya selama 4 jam ataupun semalam pula....tunggu ye...





Thursday, March 5, 2015

Udang Goreng Nestum Oat


Sesuatu hidangan yang nampak ringkas saja bahannya bukan bermakna ianya tidak sedap, kerana tidak semua makanan perlu dimasak dengan kaedah yang rumit. Yang penting ianya haruslah cukup rasa seimbang segala perisa....insyaAllah sedap je. :)

Hidangan udang goreng nestum oat ini juga antara yang tersenang dan teringkas dan sangat cepat disediakan, Namun rasanya cukup memikat selera ramai orang. Daun kari yang ditumis di dalam mentega menghasilkan satu aroma yang cukup segar di ruang dapur rumah....yang mana kat luar rumah pun boleh terpanggil untuk datang ke dapur. Heh...heh...heh.....

Jom kita semak antara bahan-bahan yang diperlukan.

Bahan - bahannya :

1 kg udang segar
1 biji telur putih
3 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar mentega
3 biji cili padi merah / hijau
3 - 4 paket nestum oat segera
minyak untuk mengoreng

Langkah menyediakannya :

Bersihkan udang dengan sebersih-bersihnya

Gaulkan sedikit garam, telur putih dan tepung jagung. Kemudian goreng di dalam minyak masak yang panas. Angkat dan toskan...

Di dalam kuali yang lain cairkan mentega, tumis daun kari bersama cili padi. Setelah wangi masukkan nestum oat dan goreng seketika agar semuanya bersebati. Api jangan terlalu besar bagi mengelakkan nestum hangus.

Setelah itu bolehlah dimasukkan udang yang telah digoreng terlebih dulu tadi. Dan digaul rata.

Bolehlah dihidangkan bersama sos mayonis yang dipicit diatasnya jikalau suka.