Monday, December 5, 2016

Homemade Roti Burger & Roti John


Setiap kali mendapat resepi baru, suka untuk saya mencubanya beberapa kali. Ini penting untuk kita mengenalpasti beberapa error yang mungkin timbul sepanjang proses membuatnya dan ianya boleh dijadikan rujukan yang boleh membantu kita di masa akan datang tak kiralah masa tu kita guna resepi lain sekalipun. Proses belajar ni tak boleh sekerat jalan...mesti ada ranjau halangan yang perlu dilalui sebelum berjaya. Itu sebabnya istiqomah dan kesungguhan tu penting dalam apa pun perkara yang kita lakukan. 

Saya sendiri pun sebenarnya mengalami masalah sakit tangan dan terasa begitu sukar untuk menguli roti yang memerlukan banyak tenaga, namun setelah beberapa kali mencuba dengan tidak pernah berputus asa akhirnya mudahlah sangat nak membuat roti ni meskipun tanpa menggunakan mixer mahupun bread maker. Bila dah banyak kali mencuba kita akan lebih faham keadaan doh tersebut. Makanya...nak buat roti apa pun sudah tidak menjadi masalah lagi.

Biasanya roti yang saya buat tu saya bagi jiran-jiran dan kawan-kawan untuk merasainya, jadi dengan feedback yang diperolehi itulah saya menambahbaik output berikutnya. Terima kasih tak terhingga kepada semua tester-tester saya....hahahaa. Memasak ni boleh kita mempelbagaikan kretiviti tapi syok sendiri pun tak boleh jugak, jadi pentinglah untuk kita dapatkan komen positif ataupun negatif untuk tujuan penambahbaikkan....

Berbalik kepada tajuk di atas tu resepi ni masih lagi menggunakan resepi Japanese White Bread seperti mana yang pernah dikongsikan di sini sebelum ini. Tapi kali ni saya cuba membuat bun burger dan roti john pula...dan ternyata hasilnya okay...tak ada masalah.


Saturday, December 3, 2016

White Bread @ Roti Putih Tawar

Resepi ni diambil daripada Bread Channel, tapi kaedahnya menggunakan cara Chef Agus Jamhari. Jadi masa yang diambil untuk menghasilkannya lebih cepat dan singkat. Namun kualitinya tetap terpelihara.


Di entry sebelum ni saya ada sharekan resepi Japanese White Bread ni tapi sekadar nota tulisan tangan, so yang ni saya catatkan sekali lagi step yang saya buat satu persatu agar mudah untuk difahami. Bagi membantu memudahkan lagi pemahaman membuatnya boleh juga dirujuk dengan menonton video Japanese white bread (Bread Channel) dan Roti Tawar oleh Chef Agus Jamhari. Video-video ini sangat-sangat membantu untuk menghasilkan roti yang baik.

Jom semak resepinya :

Bahan-bahannya :

4 cawan tepung roti (kali ni saya gunakan Japanese Bread Flour)
4 sb gula
1 sb garam
50 ml susu segar (susu kotak pun ok)
300 ml air

2 st yis
2sb mentega yang dilembutkan




Langkah-langkahnya :

  • masukkan tepung ke dalam mangkuk bersama-sama gula dan garam. Tuangkan susu dan air lalu digaul dengan spatula.
  • masukkan yis di atas adunan tadi dan uli seketika, then barulah dimasukkan mentega. Uli doh ini sehingga ianya menjadi elastik. Kita boleh rasa bilamana doh ni sudah siap diuli dengan menarik sedikit doh tersebut seperti kita menarik doh roti canai. Senang ditarik-tarik dan tidak mudah putus.
  • keluarkan daripada mangkuk adunan...sapukan sedikit minyak dipermukaan meja kerja dan di telapak tangan untuk mengelakkan doh dari melekat kerana ianya sedikit lembik tapi jangan pula ditambah tepung. Uli seketika dan bentukkan membulat. Tutup doh dengan plastik atau tuala lembab dan biarkannya untuk 10 minit.
  • selepas 10 minit, tekan doh tadi untuk mengeluarkan angin yang ada dan bahagikan doh kepada 6 bahagian dan ulikan doh kecil ini dengan cantik biar jadi bulat dan tutup semula dengan plastik dan biarkan lagi kembang sehingga 10 minit.
  • setelah 10 minit berlalu...ambil doh tadi sebiji demi sebiji dan bulatkan lagi sehingga dohnya licin dan cantik. Leperkan dan gelekkan dengan kayu biar jadi memanjang dan gulungkannya seperti kek gulung lalu susunkan ke dalam loyang yang disapu dengan minyak ataupun mentega. Setiap satu loyang isikan dengan 3 gulungan doh tadi. Biarkannya kembang selama 1jam hingga 1 jam setengah.
  • sebaiknya panaskan dahulu oven selama 30 minit sebelum roti dimasukkan. Bakar roti pada suhu 180 darjah celcius selama 30 minit. Tapi saya menggunakan oven butterfly yang atas dapur gas tu so, cuma membakar selama 20-25 mint sahaja. 
  • keluarkan roti daripada loyang sebaik sahaja dikeluarkan dari oven. Dan sejukkan di atas redai. Sapukan permukaan roti dengan sedikit mentega untuk mendapatkan permukaan yang kilat dan menawan.
Anda boleh menggunakan loyang loaf  yang bertutup ataupun tanpa tutup. 


Friday, December 2, 2016

Spaghetti Udang & Bawang Putih Pedas



Ada kalanya makan nasi je selalu pun boleh jemu jugak tekak ni, so pilihan lain ada macam-macam untuk ganti nasi. Antaranya ialah pasta....makanan kebanggaan rakyat Itali. Daripada pasta yang berbagai rupa dan boleh diadunkan dengan pelbagai sos untuk menjadikannya satu hidangan yang sangat lazat. 

Pasta ni ada rupa yang comel-comel dengan nama yang menarik untuk disebut pada lidah kita. Ada spaghetti, fetucine, spiral, macaroni, linguine, angel hair, cannelloni dan pelbagai lagi yang saya sendiri pun belum pernah merasainya.

Setakat ni, pasta yang menjadi pilihan hati saya tentulah spaghetti...dan resepinya aglio olio (bawang putih tumis dengan minyak zaitun). Resepi yang paling ringkas tapi hasilnya sangat sedap... tak pernah jemu lagi menikmatinya sehingga hari ini. Dan boleh dikatakan rasa kenyang tu menyamai dengan memakan nasi. 

Jom..sape nak join saya masak spaghetti spicy garlic and shrimp nih...yang ni versi pedas kaw-kaw. Orang Itali makan pun rasa nak marah...hahaha. Saya masak tu hari untuk 2 pinggan jer..pastu udang 21 ekor...dasyat ko. Barulah boleh ngalahkan hotel 5 star....

Bahan-bahan :-

1/2 kilo udang saiz sederhana (kopek kulit dan belah sikit belakangnya)
1 paket spaghetti
2 sb mentega
5-7 biji cili padi 
6-7 ulas bawang putih
1 sb serbuk paprika
1 sb serbuk lada cayenne
1 sb lada hitam tumbuk
Secekak daun ketumbar
Secekak daun selasih
Garam secukup rasa

*** lain-lain bahan atau daun herbs boleh tambah ikut suka tekak masing-masing.

Rebus spaghetti sehingga 80% masak. Sambil tu panaskan kuali dan tumis bawang putih cincang dengan minyak zaitun dan mentega. Kalau xde minyak zaitun guna je minyak biasa pun ok xde hal punya. Bawang putih ni tumis sehingga naik bau je jangan sampai garing, then masukkan cili padi...tumis sekejap, masa ni saya suka masukkan garam. Kemudiannya masukkan udang....

Setelah udang masak, masukkan serbuk paprika, serbuk lada cayenne dan serbuk lada hitam. Gaul rata lalu dimasukkan spaghetti yang telah direbus serta sedikit air rebusannya. Bolehlah masukkan daun ketumbar dan daun selasih yang dicincang. Gaul sebati dan cuba rasa..sedap ke idok? kalau sedap matikan api dan hidangkan..kalau dok sedap tambahlah apa yang patut. Heh..heh...

Sekian je resepi spaghetti yang lazat tak terkata.....meskipun gambar tu tak nampak menarik disebabkan gagal dari segi seni platting namun rasanya memang MENANG!!! KAW-KAW!!

Thursday, December 1, 2016

Japanese White Bread @ Roti Putih Tawar


Bismillahirahmanirrahim. Aku menulis bukan kerna nama.....

Kenangan aku di kampung tak lama, sekitar 11 tahun je. Kerana sewaktu usia 12 tahun aku sekeluarga berhijrah ke Kuala Lumpur. Terasa macam dalam drama je waktu nak berpindah tu. Selalu kan dalam drama atau filem dolu-dolu tu kan ada je adengan anak kampung merantau ke ibu kota nak jadi artis...

Kenangan sewaktu membesar di kampung tu tak banyak yang tersimpan dalam kotak memori ni. Banyak tempat-tempat yang tidak pernah dikunjungi pun...dengar nama-nama kampung pun rasa pelik sebab tak pernah dijejaki. Yelah...dulu-dulu kan tak banyak kemudahan awam. Kalau nak kemana-mana samada naik kereta sewa ataupun tumpang sedara mara yang berkereta. Arwah ayah waktu tu cuma berbasikal tua je...tu pun ada gak kenangan tu. Banyak berjasa sekali basikal tua tu dengan kami. Ingat lagi...time aku demam, arwah ayah dengan ummi jalan kaki sambil seret basikal dan aku duduk di atas pelana belakang untuk ke hospital. Tanpa merungut dan mengeluh mereka berdua berjalan....sebak sekali perasaan setiap kali terkenangkan detik itu....semoga Allah merahmati kedua orang tua kita dunia dan akhirat. Amin...

Dan antara kenangan lainnya adalah roti buku a.ka roti benggali. Hurm..yang ni memang sedap..time belum ada roti putih sandwich tu roti buku nilah yang kita duk makan time sarapan ke time minum petang ke. Ataupun time kenduri...cicah kuah kari..pun nikmat tak terkata.

So, demi kenangan tu aku mencari dan mengendap blog dan video di sana sini untuk mendapatkan resepi how to make white bread. Di belah omputih pun ado white bread ni, tapi teksturnya tak sama dengan negara-negara Asia. Kalau belah sana keras sikit, belah sini suka tekstur yang lembut dan gebu. 


Ini adalah salah satu daripada resepi roti buku yang paling memikat hati, resepinya malas nak taip kat sini so tempeklah buku nota tulis tangan kat bawah ni. Harapnya kalau ada yang sudi buat rujukan boleh dibaca dan difahami...

Dalam gambar tu ada 2 jenis roti yang menggunakan resepi yang sama tapi satu biji tu salah method, so hasilnya agak berlainan sedikit..bahasa mudahnya sedikit gagal. Dan yang satu lagi tu alhamdulillah sukses setelah bertapa mengadap video berulang kali. Buat lak tengah-tengah malam. Bila jadi tu rasa nak melompat gumbira...hahaaaaaaa

Kalau ikutkan video tu dia menggunakan mixer, tapi saya uli guna tangan..makanya note saya adalah menurut pengalaman saya di saat membuatnya.


Sekarang ni bila dah betul-betul faham proses pembuatan dengan method yang betul so, hopefully makin tambah rajin untuk membuat roti di masa-masa akan datang. In sha Allah...


Wednesday, November 23, 2016

Roti Oat

Meroti di malam hening...baunya harum semerbak memenuhi ruang pondok kecilku. Jadi lapar plak tetiba. Kalau resepi yang kita cuba tu outputnya berjaya...jadi semangat je nak buat tak kiralah siang ke malam ke nak buat jugak. So..malam tadi buat lagi roti menggunakan resepi roll ppang yang pernah dikongsikan pada entry sebelum ni. Yang di ambil dari website ni http://www.maangchi.com/recipe/bread-rolls.

Kali ni saya cuba menambah oat di dalam adunan ini dan ternyata tidak menjejaskan rasa yang sebenar malah bertambah lazat. Nanti saya nak mencuba membuat bun burger dengan menggunakan resepi yang sama dan tak sabar nak tahu camne resultnya. Kalau jadi molek..bolehlah kita buat double cheese burger...ewahhh!

Resepi ini boleh menghasilkan 6 biji roti yang berkhasiat sekiranya kita memilih untuk menggunakan tepung gandum penuh dan boleh ditambah dengan lain-lain bijirin bagi memantapkan lagi rasa dan juga teksturnya.

Di sini saya salin semula nota step by step proses yang saya jalankan semasa membuatnya. Untuk rujukan diri saya sendiri mahupun sesiapa jua yang sudi menjengah blog saya ini. 

Bahan-bahan :

3 sb mentega
1/2 cawan air (resepi betul guna susu segar)
1 biji telur 
2 sb gula
1 st garam
2 st yis
1/2 cawan oat
1 1/2 cawan tepung roti cap kuda
extra 1/4 cawan tepung
1 biji putih telur untuk sapuan

Kaedah yang saya buat :

Panaskan mentega dalam periuk guna api kecil, bila dah cair masukkan air, gula, garam dan telur. Kacau rata dan masukkan yis. Time ni kita boleh rasa adunan tadi tu masih hangat dan sesuai untuk perkembangan yis. Biarkan seminit.

Setelah itu bolehlah dimasukkan oat dan tepung bahagian 1 1/2 cawan dahulu. Baki tepung 1/4 cawan tu ketepikan sementara. Gaul rata adunan, tutup periuk dan biarkan doh kembang selama 1 jam. Setelah satu jam berlalu...uli seketika doh untuk membuang anginnya dan tutup lagi periuk biarkan kembang sekali lagi dengan tempoh selama 30 minit.

Lepas dah kembang, uli doh dengan baki tepung 1/4 cawan tadi sekitar 10-15 minit agar doh lebih elastik bagi memastikan roti yang dihasilkan lebih lembut dan gebu serta memberikan permukaan kulitnya licin. Bentukkan doh mengikut kreativiti kita sendiri, susun di dalam loyang yang telah dilenser dengan mentega terlebih dahulu. Jarak-jarakkan doh agar boleh mengembang dengan sempurna. Perap selama 1 jam.

Sapu doh dengan putih telur dan bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu. Saya tak tahu suhu oven saya ni memandangkan saya menggunakan oven butterfly yang menggunakan dapur gas. Saya bakar lebih kurang 20 minit dan saya keluarkan kemudiannya untuk disapu telur pada permukaannya dan bakarnya kembali lebih kurang seminit lagi. 

Tuesday, November 22, 2016

Roll Ppang @ Roll Bread


Happy and satisfied bilamana kita boleh membuat roti dengan sempurna. Perasaan yang kita sorang je feeling...yelah mahunya tak feeling. Setelah penat menguli, membentuk doh dan membakar. Proses yang memakan masa yang berjam-jam ini sebelum membuahkan hasil yang baik sebagai ganjaran kerja keras.

Kali ni saya nak kongsikan resepi roll ppang @ roll bread yang mana saya perolehi daripada website Maangchi disamping menonton videonya di youtube. Menggunakan bahan-bahan yang simple dengan kaedah pun yang tidak begitu rumit menjadikan proses membuat roti kali ni terasa bagaikan pieces of cake..yolah tu…

Sesapa yang rajin bolehlah tinjau-tinjau website Maangchi ni http://www.maangchi.com/recipe/bread-rolls untuk resepi roti ataupun lain-lain resepi. Hampir kesemuanya merupakan resepi masakan dari Korea. Macam-macam resepi yang menarik untuk dicuba…Jom kita semak bahan-bahannya dan kaedah membuatnya…


Bahan-bahannya : 

3 sb mentega
2 sb gula
1/2 cawan susu segar
1 biji telur
1/4 st garam
1 1/2 cawan tepung
2 st yis

Cara-caranya :

Saya cairkan mentega di dalam periuk, setelah ianya mencair sepenuhnya saya masukkan susu, telur, gula dan garam. Kacau rata dan masukkan yis...setelah itu biarkannya selama seminit untuk mengaktifkan yis.

Sesudah seminit berlalu..bolehlah dimasukkan tepung dan gaul sebati kesemuanya. Adunan ini agak basah dan melekit, tapi tak mengapa...tutup periuk dan biarkan selama sejam agar doh naik sekali ganda.

Bila doh telah jadi kembang sekali ganda, uli doh selama beberapa minit dan tutup kembali doh tersebut lalu dibiarkan lagi selama 30 minit untuk proses kembang kali kedua. Selepas itu barulah kita uli lagi sekali dengan ditabur sedikit tepung sambil diuli-uli sehingga menghasilkan doh yang licin dan cantik.

Lalu bahagikan doh kepada 6 bahagian kecil dan bentuklah roti bulat-bulat ataupun sebagaimana yang anda inginkan. Saya membentuknya seperti loaf memandangkan saya ada membeli loaf mini pan. Biarkan kembang selama 30 minit sebelum dibakar pada suhu 177 celcius selama 20-25 minit bergantung kepada oven masing-masing. 

Saturday, November 19, 2016

Chai Tow Kway @ Kuih Lobak Goreng

Chai Tow Kway @ Kuih Lobak Goreng ni biasanya boleh kita beli di pasar-pasar malam. Pada mulanya pelik bila kita tengok, tapi bila dimakan...eh! sedaplah ermm ermm gitu. Tapi selalu kita tanya ketika makan ialah...di mana lobaknya? Kan kuih lobak...? Hahaa....

Bersyukurlah kita dapat hidup dalam keadaan harmoni bersama-sama dengan kaum-kaum yang lain di negara ini, segala perbezaan itulah sebenarnya yang menarik dan unik antara kita. Ianya bukan suatu perkara untuk kita saling menjauh tetapi suatu perkara yang indah untuk kita saling kenal-mengenal di antara kita semua.

Berbalik kepada menu Chai Tow Kway ini, ianya merupakan makanan orang kaum Cina dan telah pun diterima oleh semua kaum. 


Setelah masa berlalu, terasa nak mencuba membuatnya sendiri. Dan hasil dari kajian yang diperolehi dari sumber utube, maka terhasillah Chai Tow Kway di teratak kecilku. Tapi resepinya menderhaka sikit, ambo letak udang..hihi. Sebab udang ni tersangat peberet tu yang wajib nak letak udang. Kalau yang biasa dibeli tu dia letak telur je. Tapi apa sekalipun buatlah mana yang kita rasa ok dengan tekak kita. Xde salahnya...x kena penalti pun. Ampun ye pencipta resepi asal Chai Tow Kway ni yer..orait.

Resepi ni saya tidak menggunakan sukatan yang betul. Sekadar saya gabungkan beberapa bahan yang digunakan untuk membuatnya. Terdapat banyak resepi yag dikongsikan di internet dan ini pula adalah resepi eksperimen saya yang pertama kali menghasilkannya...

Bahan-bahan : 

500 gm tepung beras
1 senduk tepung gandum
1/2 senduk tepung ubi kentang
1/2 senduk tepung ubi
2 biji lobak putih yang disagat dan direbus
sedikit garam
sedikit lada putih

Lobak putih yang disagat dan direbus jangan dibuang airnya. Saya cuma biarkan sejuk seketika sebelum mencampurkannya dengan semua bahan-bahan yang lain.

Adunan haruslah tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair sangat. Sedang-sedang saja macam nak buat kuih talam. Setelah diadun sebati kesemua bahan-bahan, saya kacau di atas api yang kecil agar bersebati dengan baik, likat dan kental.

Setelah itu masukkan adunan ke dalam loyang yang lenserkan dengan sedikit minyak dan kukuslah selama 90 minit. Ada jugak yang mengukusnya selama 20 minit. Namun saya memilih mengukus selama 90 minit. 

Setelah masak, sejukkan selama 4 jam sekurang-kurangnya agar adunan senang untuk dipotong. Kalau semalaman disejukkan lagi baik. Esok pagi dipotong dan dimasak sebagai juadah sarapan pagi. Memang enak sangat...saya masak dengan menggunakan rencah sebagaimana saya mengoreng kuey teow.