Sunday, October 11, 2015

Aku, Roti dan Batu Lesung

Dahsyat gaklah aku ni kalau dah betul-betul gian nak meroti walhal tangan memang xleh menguli sangat, batu lesung sebagai penumbuk doh jadi galang gantinya....hahahahaha

Hari tu nonton beberapa video buat mee, ada satu kaedah tu dia bantai dohnya dengan kayu penggelek. Nah...dari situlah bermulanya teknik menumbuk doh dengan batu lesung timbul. Bila ditumbuk-tumbuk berulang kali sambil dilipat dan dibalik-balikkan, hasilnya doh menjadi begitu licin seperti doh yang diuli menggunakan mesin penguli doh. Kembang kucup jap idung bila tengok doh yang begitu licin terhasil....yelah, nak beli mesin belum mampu lagi. Heh..hehhh (sape suh x menabung...?)

Beriya-iya aku menumbuk ni bukanlah buat roti Perancis ataupun roti Itali, tapi roti canai je...namun disebabkan doh yang berat dengan anggaran kurang secawan nak cukup sekilo tepung, jadinya tenaga kurang sikit kalau nak uli tangan ni.

Dah siap uli dapatlah dalam 15 biji bebola doh rotinya.

Doh roti canai

Resepi asal roti loaf, tapi loaf pan kecik xde
Roti loaf ni adalah resepi terbaru yang saya skodeng di youtube. Menariknya...doh dibiarkan semalaman di dalam peti ais dan keesokkannya baru diuli, dibentuk dan dibakar. Hasilnya dijamin lembut dan gebu seperti loaf bread di pasaran.

Bahan-bahannya :

1 cawan susu suam
1 st yis
1 st gula

gabungkan bahan di atas dan biarkan sehingga terhasil buih-buih kecil di permukaannya.

2 cawan tepung roti
2 sb gula
2 sb mentega

campurkan kesemua bahan ini dengan larutan susu dan yis yang telah kembang dan gaulkan sebati dengan spatula ataupun menggunakan tangan. Adunan ini agak lembik dan melekit...tutup bekas adunan dan simpanlah di dalam peti sejuk semalaman.

Keesokkannya bolehlah dikeluarkan adunan tersebut dari peti sejuk dan dibiarkan selama sejam di dalam bekasnya dan setelah itu barulah boleh diuli dan dibentukkan. Doh yang telah pun dimasukkan ke dalam loyang loaf hendaklah dibiarkan kembang sehingga dua kali ganda. Jangan lupa menyapu loyang dan penutup loyang dengan marjerin.

Setelah doh kembang, bakarlah pada suhu 180 c selama 30 minit bergantung kepada oven masing-masing.



Sunday, October 4, 2015

Mee Buatan Tangan

Dapat mc dapatlah berehat di rumah. Dalam pada tu sempatlah menjengah blogger-blogger masakan sambil mencari ilham untuk mencuba resepi baru. Google sana google sini, terliur dibuatnya tengok hidangan-hidangan yang pelbagai...hahaha, kaki makan mmg macam nilah. Pikir makan jeeee...

Seumur hidup ni belum pernah gi melancong keluar negara, so bila tengok rancangan-rancangan yang memaparkan tentang budaya, cara hidup dan jenis-jenis makanan di tempat lain, dalam hati ni rasa teringinnya nak merasa gak....cam sedap je...

Kali ni saya mencuba membuat mee sendiri mengikut resepi masyarat Hui dan Uyghur iaitu kelompok masyarat muslim di China. Mereka menghasilkan mee dengan tangan dan secara praktikalnya memang sangat mudah, cuma perlu berlatih beberapa kali untuk memahirkan diri. Dan teryata hasil yang saya usahakan boleh dinikmati, namun untuk menyatakan kesamaannya dengan mee yang asal dari Xinjiang yang dikenali dengan nama mee laghman ini saya pun belum pernah menikmatinya....


Resepinya cukup mudah, seperti resepi saya membuat roti canai yang ringkas dalam entry saya sebelum ini, iaitu sekadar tepung, sedikit garam dan air secukupnya. Dohnya diuli sebati dan diperap seketika lebih kurang 30 minit dan seterusnya digulung memanjang dan dijadikan seperti lingkaran ubat nyamuk....ratakannya dengan sedikit minyak dan dibiarkan lagi seketika.

Setelah itu panaskan air dan tambahkan sedikit garam, ambil dohnya dan ditarik-tarik sehingga bersaiz mee yang biasa kita nikmati, lalu dimasukkan ke dalam air yang mendidih tadi. Kita boleh merasa mee samada mee tersebut sudah masak atau tidak sebelum kita angkat dan siramkan dengan air paip lalu ditoskan...kebiasaannya masyarakat Hui menikmati mee ini dengan daging yang dimasak sedikit berkuah ataupun dengan sup. Cara memasaknya boleh dipelajari di laman-laman Youtube, sangat berbaloi sekali bagi saya mencubanya...












Friday, October 2, 2015

Roti Puri dan Dal

Biasa breakfast makan roti canai atau nasi lemak, kali ni teringin makan puri pulak....satu hidangan masyarakat India yang sangat ringkas dan mudah disediakan. Boleh dimakan dengan pelbagai jenis kuah...misalnya dal, kari mahupun sardin. 

Seingat saya...first time saya merasai roti puri ni pada tahun 2002. Masa tu tak tahu pun camne rasanya, tapi oleh kerana roti canai dah habis saya pun setuju menurut cadangan mamak kedai tersebut untuk merasai roti puri ini. Ianya dihidangkan bersama kentang (aloo gobi)...begitu enak sekali ketika menikmatinya. 

Saya melihat resepi dan kaedah membuatnya di YouTube dan menelusuri blogger-blogger yang telah pernah membuatnya. Anda boleh membuatnya dengan mengabungkan tiga jenis tepung iaitu tepung atta, tepung gandum dan tepung suji. Saya lebih menyukai gabungan ini, tepung gandum 2 cawan, tepung atta secawan dan tepung suji segenggam (tepung suji digunakan bagi membantu roti puri menghasilkan gelembung dengan baik dan tidak cepat mengecut)


Di sini saya copy & paste resepi daripada Mamak Haji yang terkenal dengan banyak perkongsian tentang dunia masakan. Berbaloi untuk kita mencubanya...

RESEPI MASAKAN INDIA: PURI
Copy & Paste dari blog Mamak Haji

Bahan-Bahan Yang Diperlukan:

2 cawan (cup) tepung gandum.
1 - 2 sudu besar (tbsp) minyak masak.
1 sudu kecil susu tepung (sekiranya anda ingin puri lembut dan berlemak).
1/2 sudu kecil (tsp) gula.
1/4 sudu kecil (tsp) garam.
Air suam secukup untuk membuat doh seperti roti canai.

CARA-CARA MEMBUAT DOH:

Masukkan tepung gandum, tepung susu, garam dan gula dan minyak masak dalam sebuah bekas. Adunkan semua bahan-bahan ini supaya rata.

Masukan sedikit demi sedikit air suam dan uli tepung. Uli tepung sehingga anda mendapat doh seperti doh canai. Doh yang baik licin permukaan yang licin dan tak berlekit ditangan. Biarkan doh tersebut di selimuti kain yang lembab selama 20 minit.

Bahagi-bahagikan doh itu beberapa bentuk bebola sama saiz yang berukuran sebiji buah lemon. (saiznya separuh dari saiz bebola roti canai atau capati. Titiskan beberapa titis minyak masak atas papan peleper (supaya tidak melekat) dan leperkan bentuk bulat bulat yang tebalnya sama ketebalan roti capati. Sekiranya anda tidak mempunyai papan dan kayu peleper (roller), anda boleh uli di atas kertas plastik dengan menggunakan botol bulat yang berbalut dengan plastik. Kalau mampu, dapatkan sebuah set peleper doh tepung yang sangat berguna di dapur anda.

Panaskan minyak dalam kuali dan mula goreng puri.